
Kerjaya doktor ini menjadi pilihan kerana pelbagai faktor seperti jaminan kerja, gaji lumayan, prestij dan dipandang mulia. Tiada ibu bapa atau keluarga yang tidak berbangga memiliki anak-anak atau ahli keluarga yang bergelar doktor. Seorang doktor di mata masyarakat pula adalah penyelamat dan insan yang boleh dipercayai.
Ini adalah persepsi biasa yang wujud di kalangan kita apabila bercakap mengenai kerjaya sebagai seorang doktor. Apa yang mungkin tidak kita ketahui adalah bukan sedikit pengorbanan dan kepayahan yang diperlukan untuk bergelar doktor, antaranya ialah :
1. Tempoh pengajian yang panjang
2. Persekitaran kerja yang mencabar dan penuh tekanan
3. Harapan yang terlalu tinggi oleh keluarga serta diri sendiri
4. Tidak menjamin pendapatan lumayan seperti yang disangka
Ini semua membuatkan tidak banyak pelajar mampu mengurus tekanan seperti itu, sekali gus berakhir dengan kegagalan. Keadaan lebih buruk bagi pelajar yang mengikuti kursus perubatan bukan kerana minat. Mereka sama ada terpaksa memenuhi impian ibu bapa, meneruskan tradisi keluarga atau sekadar mencuba dan mengikut jejak langkah rakan sebaya.
Memang tidak dinafikan hampir 90 peratus atau lebih pelajar perubatan berjaya menamatkan pengajian dan bergelar seorang doktor. Tetapi dalam perkara ini, bukan kuantiti doktor yang dicari, sebaliknya kualiti iaitu bagaimana seorang doktor itu benar-benar mampu berkhidmat.
Ketika ini, hanya 20 atau 30 peratus sahaja pelajar perubatan yang berjaya menjadi doktor pakar dalam pelbagai bidang. Selebihnya, hanyalah sebagai pegawai perubatan biasa atau doktor am tanpa kepakaran khusus. Ini satu kerugian kerana negara memerlukan lebih ramai pakar perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pakar dari luar negara.
Senario ini berlaku disebabkan beberapa perkara, antaranya kriteria kemasukan pelajar perubatan bergantung sepenuhnya kepada keputusan akademik terutamanya SPM. Sedangkan tidak semua pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran layak menjadi seorang doktor yang baik,
Namun, disebabkan terlalu ramai pelajar dengan keputusan sangat cemerlang memohon kursus perubatan, maka pelajar-pelajar sederhana ini langsung tidak mendapat tempat. Lebih-lebih lagi universiti awam di negara ini tidak mempunyai tempat untuk kesemua calon yang memohon.
Ini mendorong ramai ibu bapa sanggup membiayai pengajian anak-anak mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di dalam dan luar negara. Kebelakangan ini pelajar lelaki sering menjadi mangsa keadaan. Ini kerana sebahagian besar yang mendapat keputusan cemerlang adalah pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki.
Pemilihan secara saringan menggunakan sistem meritokrasi sedia ada iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum agak sukar. Justeru, kaedah yang digunakan kebanyakan institusi luar negara yang mana pelajar lepasan sekolah menengah perlu mempunyai ‘work experience’ di hospital-hospital boleh diterima pakai. Pelajar-pelajar yang berminat ditempatkan lebih awal di hospital-hospital sebelum mereka memasuki kursus perubatan.
Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan persekitaran sebenar hospital termasuk cabaran-cabaran yang perlu dihadapi sebelum mereka layak memohon. Jika perlu, pelajar-pelajar ini juga boleh dibawa masuk ke bilik bedah untuk merasai pengalaman sebenar seorang doktor.
