
“Kami bertugas minimum 14 jam sehari dengan bayaran gaji minimum, malah kami tidak sempat untuk makan, solat pun ‘lari-lari’. Kadangkala terlepas waktu solat. Jangan sesekali marah doktor dan jururawat atau mana-mana petugas kesihatan. Kami sangat penat. Kalau nak marah, lepaskan kemarahan anda kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” demikian luahan doktor berkenaan di twitter.
Isu keletihan dalam sektor kesihatan negara bukanlah hal yang baru diperkatakan. Bekerja lebih masa seperti diluahkan seorang doktor menerusi ciapan di Twitter umpama sudah menjadi open secret dalam kalangan rakyat Malaysia.
Isu keletihan dan kelesuan dalam kalangan petugas kesihatan kembali menarik perhatian umum apabila insiden ‘mengamuk’ di sebuah hospital kerajaan di Serdang dilaporkan media, baru-baru ini.
Selain memberi kesan mental kepada petugas barisan hadapan, bagi rakyat kebanyakan, mereka juga mahukan perkhidmatan efisien apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan terutama ruang menunggu yang agak panjang.
Hasil tinjauan diterbitkan laman web berita kesihatan, CodeBlue baru-baru ini, 95 peratus daripada 1,652 kakitangan kesihatan melibatkan jururawat dan doktor kerajaan menyatakan sistem kesihatan awam negara kini berdepan krisis, dengan 73 peratus daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan.
Daripada dapatan itu, sebanyak 53 peratus responden yang sebahagiannya golongan profesional bersetuju dengan status ‘sangat marah’ terhadap situasi semasa sistem kesihatan awam.
Justeru, masalah berkaitan sistem kesihatan negara perlu diberikan perhatian sewajarnya dan ditangani dengan segera. Janganlah setelah keadaan menjadi tidak terkawal barulah mahu bertindak.
