
Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik dari Universiti Malaya (UM) setiap tahun yang memilih untuk berkhidmat di luar negara sebaik menamatkan pengajian.
Ia dilihat satu ‘kerugian’ besar kepada institusi pendidikan tempatan kerana kos melatih setiap pelajar perubatan dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.
Perkara ini berlaku disebabkan kegagalan kerajaan menyelesaikan pelbagai isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan dan pegawai perubatan selain ketiadaan laluan latihan yang jelas.
Penghijrahan kakitangan perubatan ke luar negara bukan hanya membabitkan doktor dan pegawai perubatan namun juga golongan jururawat.
Keadaan ini sangat membimbangkan sekiranya ianya berterusan tanpa tiada usaha yang serius untuk menanganinya. Atas dasar itu, kerajaan digesa untuk mengambil serius rungutan kakitangan penjagaan kesihatan bagi menangani isu penghijrahan golongan profesional berkenaan.
Kita juga tidak boleh menyalahkan golongan doktor muda dan baharu ini kerana ini adalah peluang yang baik untuk mereka. Bagaimanakah kita boleh berharap untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan bertaraf dunia apabila kita berdepan dengan isu penghijrahan ini.
