
Persaingan sengit dalam bidang perubatan telah mendorong 500 buah klinik biasa menggulung tikar dalam tempoh dua tahun, malahan ada doktor yang memilih untuk bertukar kerjaya.
.
Daripada 7,000 doktor biasa yang terdapat di Malaysia, sebanyak 60 peratus gagal memperoleh pendapatan yang baik, 20 peratus menerima pendapatan yang teruk, dan hanya 15 peratus yang mempunyai pendapatan lumayan.
.
Presiden Persatuan Prubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran R. Naidu berkata, pendapatan yang sangat teruk berlaku apabila sesebuah klinik menerima kurang daripada 15 pesakit sehari. Tambahnya lagi, persaingan memang sengit sehingga jumlah pesakit yang datang mendapat rawatan gagal menampung kos operasi klinik.
.
Masalah ini berlaku disebabkan semakin graduan perubatan dilahirkan tetapi kekurangan hospital awam yang menyediakan latihan dan peluang kerjaya buat mereka.
.
Jumlah hospital tidak bertambah sedangkan populasi dan graduan perubatan semakin meningkat. Keadaan ini menyebabkan ada graduan yang terpaksa menunggu lapan atau sembilan bulan, malahan setahun untuk menjadi doktor pelatih di hospital.
.
Kegagalan hospital kerajaan untuk menyerap lebih banyak doktor dan menyediakan jawatan kekal buat mereka akan memyebabkan lebih ramai doktor beralih ke sektor swasta. Lebih banyak hospital perlu dibina untuk menggaji lebih banyak doktor.
.
Memandangkan kerajaan gagal mengawal jumlah pengambilan pelajar perubatan oleh institusi pengajian tinggi swasta, maka cara terbaik ialah meminta institusi berkenaan membina hospital sendiri untuk melatih pelajar mereka.
