
Krisis dijangka berlaku sekiranya kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) nekad meninggalkan kerjaya mereka akibat tekanan yang dihadapi ketika ini.
Oleh yang demikian, kerajaan perlu menambah baik sistem kesihatan di negara ini bagi mengelak krisis melibatkan sektor tersebut pada masa akan datang dengan memperuntukkan perbelanjaan yang lebih besar kepada KKM untuk mengatasi masalah ini,
Antara masalah yang dihadapi oleh kakitangan KKM adalah sistem yang tidak cekap, tekanan dan bebanan kerja, gaji yang tidak setimpal dan kekurangan kakitangan di tempat-tempat kritikal.
Hasil kaji selidik oleh CodeBlue terhadap 798 pekerja berjawatan tetap dalam sistem kesihatan awam di negara ini menunjukkan kira-kira 62 peratus ingin meletak jawatan, 41 peratus bersedia melakukan mogok, lebih 70 peratus mengalami kerja berlebihan, gaji tidak berbaloi, kelelahan fizikal, mental dan emosi akibat tekanan yang berpanjangan.
Kerajaan perlu menangani isu tersebut dengan segera daripada terus merebak dan tidak terkawal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Itulah yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan ketika ini.
